Isnin, 6 Jun 2022 | 9:23am
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.

JKNT diarah ambil sampel air didakwa tercemar di Pulau Perhentian Kecil

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) diarahkan mengambil sampel air yang didakwa tercemar, susulan kes enam sahabat dikatakan mengalami keracunan makanan ketika bercuti di Pulau Perhentian Kecil di Besut, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman, berkata ia hasil Mesyuarat Khas Tindakan Besut dipengerusikan Pegawai Daerahnya, semalam, yang turut mengarahkan JKNT melakukan pemantauan segera terhadap isu tular itu.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri memandang serius dakwaan kes keracunan itu yang dikatakan berpunca daripada pencemaran sisa kumbahan tidak dirawat di pulau berkenaan.

Katanya, ia bukan hanya membabitkan soal keselamatan pelancong tetapi juga akan memberi imej negatif terhadap industri pelancongan negeri jika dakwaan berkenaan adalah benar.

Bagaimanapun, Ariffin berkata, difahamkan pihak JKNT dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes terbabit, setakat ini.

"Hasil semakan data kejadian keracunan makanan dari 2021 hingga semalam mendapati JKNT tiada menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan berlaku di Pulau Perhentian.

"Namun, Mesyuarat Khas Tindakan Besut yang dipengerusikan Pegawai Daerahnya, semalam, sudah mengarahkan JKNT mengambil sampel air yang didakwa tercemar serta melakukan pemantauan segera terhadap isu tular itu.

"Kerajaan negeri memandang serius perkara ini, terutama apabila membabitkan soal keselamatan pelancong kerana ia bukan hanya akan memberi imej negatif terhadap industri pelancongan tetapi juga boleh menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, media melaporkan JKNT menyiasat dakwaan enam sahabat mengalami keracunan makanan ketika bercuti di Pulau Perhentian Kecil yang dipercayai akibat pencemaran sisa kumbahan tidak dirawat, baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, dipetik berkata siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu yang dikatakan berpunca daripada air tercemar di pulau berkenaan.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan selepas berenang di perairan dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil.

Berita Harian X