Selasa, 31 Mei 2022 | 11:48am

Pemandu van sekolah tak mengaku pandu bahaya, lawan arus

MANJUNG: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu van sekolah secara melulu dan melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, di sini, pada 11 Mei lalu.

Tertuduh, M Raman, 74, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, A Hafiizh Abu Bakar.

Tertuduh didakwa memandu van sekolah jenis Isuzu secara melulu dengan melawan arus dan dirakam oleh orang awam sebelum dikongsikan dalam media sosial.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai kereta terpakai di Jalan Lumut-Sitiawan jam 7.15 malam pada 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM15,000 jika sabit.

Selain itu, sabitan juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Norafida Leman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, S Dharmanathan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan, tindakan lelaki warga emas itu memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus tular di media sosial.

Ketika itu pemandu berkenaan membawa lapan pelajar sekolah berusia 13 tahun dan 14 tahun untuk dihantar ke rumah masing-masing dari sekolah.

Tertuduh, M Raman (baju merah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu van sekolah secara melulu dan melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, di sini, pada 11 Mei lalu
Tertuduh, M Raman (baju merah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu van sekolah secara melulu dan melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, di sini, pada 11 Mei lalu
Berita Harian X