Ahad, 22 Mei 2022 | 5:21pm
Arjunaidi (tengah) semasa sidang media sempena Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UiTM Zon Tengah di UiTM Shah Alam hari ini.
Arjunaidi (tengah) semasa sidang media sempena Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UiTM Zon Tengah di UiTM Shah Alam hari ini.

RM19.8 juta kerugian akibat Macau Scam hanya dalam 4 bulan

SHAH ALAM: Polis Selangor menyifatkan jenayah penipuan Macau Scam di negeri ini membimbangkan apabila 156 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM19.8 juta hanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kebanyakan kes dilaporkan membabitkan transaksi dalam talian sama ada dengan menyamar sebagai penjawat awam atau pembelian barangan tidak wujud.

Katanya, pemerhatian pihaknya turut mendapati mangsa terdiri semua golongan termasuk korporat dan kakitangan kerajaan.

"Sepanjang tempoh Januari hingga April lalu, sebanyak 156 kes penipuan Macau Scam direkodkan dengan kerugian melebihi RM19 juta.

"Kes paling tinggi serta melibatkan kerugian besar membabitkan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH).

"Situasi ini amat membimbangkan yang mana ia menunjukkan masih ramai mangsa terpedaya dengan sindiket ini, justeru sesuatu perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.

Beliau berkata, punca utama kes penipuan masih berleluasa adalah kerana sindiket membuat mangsa panik, sekali gus mempercayai atau terpengaruh dengan tipu daya mereka.

Katanya, undang-undang sedia ada iaitu melalui Seksyen 420 Kanun Keseksaan juga perlu dipinda seiring peredaran zaman, yang mana kini kaedah pemindahan wang banyak dilakukan secara dalam talian.

Jelasnya, tindakan undang-undang turut diambil terhadap pemilik akaun (keldai akaun) kerana membenarkan akaun mereka digunakan pihak lain bagi tujuan penipuan.

Sementara itu, Arjunaidi memaklumkan pihaknya menyokong penuh sekiranya 554 pelatih Kor SUKSIS di empat universiti di Selangor mahu terus menabur bakti bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Semua pelajar di empat universiti termasuk UiTM itu amat digalakkan menyertai bidang kepolisan, sama ada pegawai atau anggota dan mereka sentiasa dialu-alukan untuk menjadi sukarelawan polis selepas tamat pengajian kelak," katanya.

Berita Harian X