Selasa, 17 Mei 2022 | 6:33pm

Paket 'lime juice' ada dadah

GEORGETOWN: Lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran beberapa jenis dadah bernilai lebih RM180,000 dalam dua serbuan di sekitar Jelutong di sini, Jumaat lalu.

Serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Pus Daerah (IPD) Timur Laut itu juga berjaya membongkar makmal mini bagi memproses dadah MDMA (ekstasi) berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama yang dijalankan di sekitar Jelutong menemukan paket plastik bertulis 'Lime Juice' disyaki mengandungi dadah jenis MDMA, selain ketamin dan pil ekstasi.

Katanya, dengan dipandu arah suspek, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah sewa di kawasan berkenaan dan merampasdadah disyaki MDMA selain syabu, ketamin, pil ekstasi dan pil erimin 5 selain peralatan memproses serbuk MDMA.

"Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu sudah bergiat aktif sejak Mac lalu dan dipercayai diedarkan bagi pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 894 penagih," katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, di sini, hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta termasuk sebuah kenderaan serta wang tunai ialah RM213,980.

Menurut Soffian, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah.

Katanya, suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari sehingga esok (18 Mei) bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952

"Dadah dipercayai dijual di pusat hiburan dan kita percaya pembelinya adalah terdiri daripada golongan yang suka berkunjung ke tempat itu namun kita masih menyiasat lokasi pusat hiburan yang menjadi tumpuan.

"Memandangkan pusat hiburan sudah diberi kebenaran bagi beroperasi, akan tingkatkan operasi di tempat berkenaan bagi memastikan mereka tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti membabitkan dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (dua dari kanan) menunjukkan antara ketulan mampat bahan disyaki syabu pada sidang media - Foto NSTP/ Mikail Ong
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (dua dari kanan) menunjukkan antara ketulan mampat bahan disyaki syabu pada sidang media - Foto NSTP/ Mikail Ong
Berita Harian X