Selasa, 17 Mei 2022 | 5:32pm
Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Aminah Abdullah.
Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Aminah Abdullah.

Ibu JJ gagal kemuka keterangan lanjut dalam rayuan

Putrajaya: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan semalam, untuk mengemukakan keterangan lanjut dalam rayuan berhubung saman sivil untuk memasukkan saham syarikat sebagai sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Panel tiga hakim merangkumi Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk M Gunalan menolak permohonan Aminah Abdullah dengan kos RM5,000.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Lee berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Aminah untuk mengemukakan keterangan Datuk Zakri Afandi Ismail dalam rayuan itu.

Beliau berkata, Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri dan sudah sepina beliau tetapi memilih untuk tidak memanggilnya atas sebab-sebab yang hanya Aminah mengetahuinya.

Hakim Lee berkata, keterangan diperlukan oleh Aminah hanya dalam bentuk pernyataan afidavit yang difailkan oleh Zakri dalam tuntutannya terhadap dua cucu Aminah sambil menambah mahkamah belum menilai bukti itu kerana perbicaraan belum dimulakan.

Terdahulu, peguam Wan Zafran Pawancheek yang mewakili Aminah, memohon mahkamah menerima afidavit Zakri yang memfailkan saman berasingan terhadap dua anak Jamaluddin iaitu Ikhwan Hafiz dan Nur Anis, apabila bekas rakan perniagaan Allahyarham itu mahu pemulangan saham dalam tiga syarikat termasuk Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Sdn Bhd.

Beliau berkata, keterangan Zakri menyokong keseluruhan kes Aminah sambil menambah bahawa perbicaraan kes saman Aminah terhadap cucunya telah berakhir selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya pada Ogos tahun lalu.

Wan Zafran memberitahu mahkamah mereka sudah cuba menghubungi Zakri, orang kepercayaan Allahyarham Jamaluddin untuk memberi keterangan sebagai saksi, tetapi memutuskan sebaliknya selepas beliau meminta bayaran terlalu tinggi iaitu RM24,800 untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, saman yang difailkan oleh Zakri menunjukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sepatutnya menjadi sebahagian daripada harta pusaka Jamaluddin.

Peguam Saheran Suhendran yang mewakili Ikhwan Hafiz berhujah keterangan Zakri tidak harus diterima kerana perkara itu masih belum dibicarakan.

Beliau berkata Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri memberi keterangan dalam perbicaraan itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian. - BERNAMA

Berita Harian X