Isnin, 16 Mei 2022 | 2:42pm
Keluarga arwah Iqbal Hasnun menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang, ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di Taman Impian Jaya di Senai hari ini. - Foto NSTP/MARY VICTORIA DASS
Keluarga arwah Iqbal Hasnun menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang, ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di Taman Impian Jaya di Senai hari ini. - Foto NSTP/MARY VICTORIA DASS

'Kami harap tragedi tak berulang'

KULAI: Bapa kepada mangsa kemalangan, Halimi Ali Yahad, 50, berharap tekanan emosi yang ditempuhi akibat tragedi menimpa anak sulungnya yang juga penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Iqbal Hasnun, 23, tidak dialami oleh insan lain.

Bagi tujuan itu, katanya, pembelaan bagi arwah dan rakan-rakannya dalam kes berkenaan amat penting.

Beliau berkata, pihak yang bersalah seharusnya diadili supaya menjadi pengajaran, bagi memastikan kejadian tidak berulang.

"Semua aspek perlu diambil kira dan diperbaiki termasuk daripada segi penguatkuasaan undang-undang kerana dalam kes berkenaan, difahamkan pemandu terbabit memiliki pelbagai rekod kesalahan trafik.

"Kehilangan nyawa sesuatu yang tiada pengganti. Mereka yang maut mungkin berpotensi menjadi pemimpin masa depan," katanya di sini.

Sementara itu, Halimi berkata, ahli keluarganya masih diselubungi perasaan sedih akibat ketiadaan Iqbal Hasnun hingga menjejaskan kelancaran rutin harian.

Menurutnya, ketiga-tiga anaknya termasuk Iqbal Hamdi, 19; Husna Hayati, 16 dan Aisyah Umairah, 4 masih terbayang wajah Iqbal Hasnun.

"Iqbal Hamdi tidak mahu tidur di bilik sama yang dikongsi bersama arwah, manakala Husna pula mahu pulang ke asrama dalam tempoh terdekat bagi mengubati kesedihan.

"Aisyah pula masih memanggil along," katanya.

Halimi berkata, keluarganya juga bercadang bagi infak barangan peninggalan arwah kepada rakannya di rumah sewa di Kuala Kangsar.

Iqbal Hasnun antara mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, 12 Mei lalu.

Insiden menyebabkan kereta dinaiki lima mangsa rentung itu terbakar selain menyebabkan treler bermuatan besi turut terbakar.

Berita Harian X