Ahad, 15 Mei 2022 | 9:40pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Budak 3 tahun didera penjaga

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun cedera selepas disyaki didera penjaganya di sebuah rumah di Pandan Perdana dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada jam 1 tengah hari yang terdengar tangisan mangsa di rumah itu dan melihat kesan kecederaan pada muka dan badan mangsa.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya sedang mengesan penjaga mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki mendera kanak-kanak itu.

Katanya, siasatan mendapati suspek adalah penjaga sementara sejak Januari lalu kerana ibu dan bapa mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi menyalurkan sebaran maklumat untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X