Ahad, 15 Mei 2022 | 12:10pm
Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan lima pelajar maut dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping untuk proses lanjutan reman - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan lima pelajar maut dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping untuk proses lanjutan reman - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Reman pemandu treler disambung

TAIPING: Tempoh reman pemandu treler muatan besi yang terbabit dalam nahas mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, tengah malam Khamis lalu disambung tiga hari lagi bermula esok.

Perintah melanjutkan tempoh reman lelaki berusia 28 tahun itu sehingga Rabu ini dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh di Mahkamah Majistret Taiping di sini, hari ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ia susulan dari tempoh reman suspek selama empat hari sejak ditahan pada Khamis lalu berakhir hari ini.

Pemandu treler terbabit yang berpakaian lokap warna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.20 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum meninggalkan mahkamah hampir sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki terbabit dijangka didakwa sama ada pada petang Selasa ini atau Rabu.

"Perintah sambung reman selama tiga hari lagi diperoleh bagi membolehkan kertas siasatan kes berkenaan dilengkapkan.

Semalam, Omar Bakhtiar dilaporkan berkata kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa ini dan dijangka pemandu treler itu akan dituduh di mahkamah juga pada hari sama di sebelah petang.

Siasatan polis mendapati pemandu berasal dari Kubang Pasu, Jitra, Kedah itu mempunyai 22 saman dengan 21 daripada jumlah saman itu sudah dibayar termasuk lapan saman kesalahan memandu laju, selain dilapor turut mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam Khamis lalu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh treler muatan besi dari arah belakang di KM 245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira dua kilometer berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar.

Berita Harian X