Sabtu, 14 Mei 2022 | 4:51pm

2 ditahan memandu dalam Op Mabuk di Langkawi

ALOR SETAR: Dua lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam sekatan jalan raya Op Mabuk di Jalan Kedawang, Jalan Pantai Tengah di Langkawi malam tadi.

Mereka ditahan selepas ujian menggunakan alat saringan SD II serta ujian saringan pernafasan mendapati bacaan kandungan alkohol melebihi paras ditetapkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussein berkata, kes pertama membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 34 tahun yang ditahan selepas ujian saringan melalui SD II menunjukkan paras bacaan alkohol dalam badannya tinggi iaitu 274 /100 mililiter (ml).

"Hasil bacaan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA) II pula mendapati kandungan alkohol dalam badannya 74/100 ml.

"Lelaki dari Selangor itu kemudian ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Dalam pada itu, katanya seorang pemandu kereta ditahan dalam operasi sama kerana memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.

"Lelaki berusia 24 tahun yang beralamat di Johor itu selepas paras bacaan alkohol dalam badannya menggunakan alat SD II adalah 325/100ml, manakala bacaan EBA II mendapati bacaannya 107/100 ml," katanya.

Berita Harian X