Selasa, 10 Mei 2022 | 2:35pm

Dipenjara 18 bulan kerana langgar kereta polis, halang tugas penjawat awam

MANJUNG: Seorang pembantu kedai makan dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melanggar kereta polis dan menghalang tugas penjawat awam pada Rabu lalu.

Tertuduh, Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta pasukan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyebabkan kerugian RM1,200.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan bangunan Toyota Seri Manjung antara jam 8.40 pagi hingga 9.40 pagi 4 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa tidak memberi kerjasama dan menghalang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas, dengan sengaja tidak menghentikan kenderaan serta bertindak agresif bertujuan menghalang pihak polis melakukan tangkapan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran di Seri Manjung, pada waktu dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya, manakala tertuduh diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams Hunt Abdullah.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terbabit, dengan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan.

Terdahulu di mahkamah sama, tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak, turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine berdasarkan saringan awal air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira jam 1.30 tengah hari 4 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis selama tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

A Hafiizh kemudian menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Shahrul Nizam dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, atas dua pertuduhan melanggar kereta polis dan menghalang tugas penjawat awam pada Rabu lalu. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Shahrul Nizam dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, atas dua pertuduhan melanggar kereta polis dan menghalang tugas penjawat awam pada Rabu lalu. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Berita Harian X