Ahad, 8 Mei 2022 | 12:35pm

Remaja maut, rakan parah motosikal dirempuh kereta

KUALA KANGSAR: Seorang remaja maut, manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 73, Jalan Ipoh-Gerik dekat Sauk, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 malam, Muhammad Nashrullah Azhary, 15, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda maut di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 16 tahun yang menunggang motosikal Modenas Kriss cedera termasuk patah pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati nahas berpunca apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang pelajar universiti awam di Sungai Petani, Kedah berusia 22 tahun memotong dalam keadaan cuai.

Katanya, kereta dipandu pelajar lelaki itu dari arah Gerik menuju Kuala Kangsar dipercayai cuba memotong kenderaan lain dengan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

Beliau berkata, sebelum kejadian, motosikal ditunggang Muhammad Nashrullah mengekori belakang motosikal Modenas Kriss.

"Penunggang Modenas Kriss yang ternampak kereta terbabit memasuki laluannya sempat mengelak ke kiri namun motosikalnya bergesel dengan kereta berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan.

"Muhammad Nashrullah yang menunggang di belakang motosikal Modenas Kriss tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Perodua Axia yang memasuki laluannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua remaja berkenaan yang kedua-duanya beralamat di Kampung Biong, Sauk, di sini tiada lesen memandu.

Katanya, mayat Muhammad Nashrullah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk menjalani bedah siasat.

Beliau berkata pemandu Perodua Axia ditahan polis bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X