Khamis, 5 Mei 2022 | 6:19pm
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi. NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi. NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI

Lelaki lari dari pengutip hutang direman 4 hari

MANJUNG: Lelaki yang melarikan wanita bersama kereta milik wanita itu kerana takut dengan pengutip hutang sebelum dikejar kereta peronda polis hingga melanggar sebuah kenderaan pihak berkuasa di sini, semalam, direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata suspek berusia 31 tahun itu direman bermula hari ini hingga Ahad untuk membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

"Mangsa wanita berusia 34 tahun dan anggota polis yang menaiki kenderaan peronda yang dilanggar kereta dipandu suspek tidak cedera.

"Kereta peronda (MPV) polis cuma mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan kiri," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, media melaporkan, akibat takut dan mahu melarikan diri daripada suami rakan wanitanya yang disangka pemungut hutang, seorang lelaki melarikan kereta wanita itu.

Sebelum itu, suspek menghubungi mangsa yang dikenalinya sejak empat bulan lalu melalui aplikasi Wechat untuk meminta bantuan pada jam 7.30 pagi.

Suspek meminta mangsa mengambilnya di sebuah penginapan sebelum wanita itu ke lokasi dengan menaiki sebuah kereta dan turut meminta suaminya mengekorinya secara berasingan kerana bimbang keselamatan dirinya.

Berita Harian X