Rabu, 4 Mei 2022 | 5:54pm
Petugas Hospital Pulau Pinang melakukan bedah siasat ke atas mayat doktor. - Foto hiasan
Petugas Hospital Pulau Pinang melakukan bedah siasat ke atas mayat doktor. - Foto hiasan

Jangan sebar berita tidak sahih kematian doktor

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang memohon semua pihak tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kematian seorang petugas Hospital Pulau Pinang, di sini pada 17 April lalu.

Pengarahnya, Dr Maarof Sudin, berkata polis yang sedang menyiasat kes itu mengarahkan bedah siasat dijalankan.

Beliau berkata, memandangkan kes itu masih dalam siasatan polis, dan bagi menghormati keluarga mendiang, semua pihak tidak wajar membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu.

"Jabatan ini dan hospital memberi sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 17 April lalu petugas itu ditemukan maut, dipercayai selepas terjatuh daripada unit kediamannya di bangunan berhampiran.

Dr Maarof yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga serta rakan-rakan mendiang berkata, mendiang seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri dan ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, pada 4 April lalu.

Katanya, laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal, termasuk laporan bedah siasat, yang akan dikemuka kepada polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin dalam kenyataan berasingan memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat secara menyeluruh kes itu, berikutan ia didakwa kejadian kedua dalam tempoh kurang dua tahun yang membabitkan doktor.

Norlela berkata, pihak yang terbabit juga perlu memberi penjelasan mengenai kes dan situasi dihadapi doktor di hospital di negeri ini.

"Saya pernah membangkitkan tentang tempoh masa kerja yang tidak logik membabitkan profesion seorang doktor yang pernah dihadapi oleh ahli keluarga saya sebelum ini, namun maklum balas pihak kesihatan negeri semua doktor perlu melalui situasi berkenaan," katanya.

Semalam satu portal berita melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan seorang doktor pelatih dari HPP ditemukan meninggal dunia, selepas dipercayai terjatuh dari bangunan dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Pada penghujung tahun 2020, seorang doktor pelatih lelaki yang bertugas di Hospital Pulau Pinang ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Bukit Jambul, dipercayai akibat membunuh diri. – BERNAMA

Berita Harian X