Selasa, 3 Mei 2022 | 3:48pm

CCTV rakam lelaki tak berbaju pecah masuk rumah

MIRI: Seorang pemilik kedai kopi kerugian RM75,000 selepas kediamannya di Win House Village di Jalan Sze Chuan 1, di sini dipecah masuk pencuri Jumaat lalu.

Kejadian itu disedari mangsa jam 12 tengah hari selepas mendapati keadaan rumah berselerak dengan beberapa barangan berharga didapati hilang dilarikan pencuri.

Selain rantai emas bernilai RM40,000 dan wang tunai RM30,000, turut disedari hilang ialah sebuah Ipad 9, jam tangan jenama Bonia bernilai RM2,500, jam tangan jenama Seiko bernilai RM800, satu unit telefon bimbit model Xio Mei bernilai RM1,700, sebuah beg tangan jenama Michael Kors bernilai RM550 dan sepasang selipar Adidas bernilai RM100.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa turut mengesan seorang lelaki memecah masuk kediaman dari bahagian pintu belakang rumah dalam keadaan tidak berbaju.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian itu susulan laporan polis dibuat dibuat mangsa jam 3.06 petang hari sama.

"Susulan itu, siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Miri sehingga membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun di kawasan Bulatan Park Seberkas Miri jam 5.15 petang.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,612, pelbagai barang kemas, dua unit beg tangan dan dua utas jam tangan, satu unit laptop dan IPad, sebilah parang, dua pasang kasut dan satu unit telefon bimbit dipercayai barangan curi," katanya.

Alexson berkata, semakan lanjut mengesahkan suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek kini direman empat hari sehingga 5 Mei ini bagi membantu siasatan termasuk mengesan barangan kes lain yang dilaporkan hilang oleh pemilik rumah," katanya.

Berita Harian X