Khamis, 21 April 2022 | 5:52pm
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (kiri) mendukung bayi lelaki, Muhammad Noah yang ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Jitra selepas ditemukan dalam kotak di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Padang Kuala Kedah, sambil diperhatikan Pengarah JKM Kedah, Shaballah Zainal Abidin (tengah).STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (kiri) mendukung bayi lelaki, Muhammad Noah yang ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Jitra selepas ditemukan dalam kotak di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Padang Kuala Kedah, sambil diperhatikan Pengarah JKM Kedah, Shaballah Zainal Abidin (tengah).STR/ZULIATY ZULKIFFLI

Bayi lelaki ditemui dalam kotak dihantar ke Taman Sinar Harapan

JITRA: Seorang bayi lelaki yang ditemui dalam kotak di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Padang, Kuala Kedah pada 10 April lalu kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Kubang Pasu bagi proses dokumentasi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, berkata bayi yang didaftar atas nama Muhammad Noah berusia 11 hari itu mendapat Perintah Jagaan Sementara di pusat itu selepas Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merujuk kes di Mahkamah Bagi Kanak-kanak di Alor Setar, semalam.

Katanya, bayi lelaki yang belum diketahui keturunan, agama dan taraf warganegara itu mempunyai berat badan 3.18 kilogram dan 52 sentimeter panjang.

"Setakat ini, maklumat ibu dan bapa kandung Muhammad Noah tidak diperoleh sejak bayi ini ditemui jam 1.40 petang, 10 April lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hadir sama ,Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Shaballah Zainal Abidin.

Halimaton Shaadiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam berkata, bayi itu dalam keadaan sihat selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Katanya, bayi itu dalam keadaan sihat dan mendapat Perintah Jagaan Sementara (satu bulan) mengikut Perenggan 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.

"Pelindung juga memohon kepada mahkamah Bagi memberi pengecualian sekatan ke atas laporan dan penyiaran media mengikut Seksyen 15 Akta yang sama.

"Selepas dua minggu siaran akhbar dan tiada pihak tampil, maka pelindung kanak-kanak JKM akan meneruskan proses meletakkan dua bayi itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan ibu atau bapa pelihara yang sesuai," katanya.

Sementara itu Halimaton Shaadiah berkata, walaupun kes pembuangan bayi di negeri ini menurun namun pihaknya berharap orang ramai mengambil peranan dalam menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui terdapat ibu hamil akibat terlanjur, miskin dan sebagainya.

Katanya, Skuad Waja yang ditubuhkan tahun lalu khas untuk membantu ibu hamil dan wanita yang teraniaya diharap dapat membantu mengurangkan kes seperti ini berlaku.

"Skuad Waja mempunyai seramai 4,000 orang di negeri ini yang dapat membantu wanita yang mempunyai masalah termasuk hamil luar nikah atau diabai keluarga dan suami.

"Mereka ini akan dibantu termasuk diberi kaunseling dan diberi perlindungan supaya kita dapat mengetahui masalah yang dialami mereka," katanya.

Harian Metro pada 10 April lalu melaporkan suara sayup tangisan dari dalam kotak di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Padang, Kuala Kedah membawa penemuan seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir yang ditinggalkan di situ hari ini.

Dalam kejadian 1.40 petang itu, bayi lelaki yang masih lengkap bertali pusat itu ditemui seorang lelaki pekerja kargo yang juga penduduk di kampung itu selepas ternampak ada sesuatu bergerak dalam kotak berkenaan.

Berita Harian X