Rabu, 20 April 2022 | 11:32am

Usaha kesan baki 205 tahanan lolos dipergiatkan - Polis

NIBONG TEBAL: Usaha mengesan baki 205 lagi tahanan membabitkan etnik Rohingya yang masih bebas selepas meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, dekat sini awal pagi tadi kini dipergiatkan dengan membabitkan pelbagai agensi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mereka adalah sebahagian daripada 528 tahanan yang melarikan diri kira-kira jam 4.30 pagi tadi, sebelum lebih 300 daripada mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya dimaklumkan 528 daripada 663 tahanan di depot Imigresen berkenaan melarikan diri kira-kira jam 4.30 pagi tadi, sebelum 88 ditahan dengan bantuan penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak imigresen.

Katanya, 229 lagi tahanan ditahan di Kilometer (KM) 168.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat sini dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Terdahulu sekumpulan tahanan ini dikatakan melintas jalan dengan menyeberangi lebuh raya di KM165 lebuh raya terbabit, namun enam daripada mereka terdiri dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak maut selepas terbabit kemalangan kira-kira jam jam 6.50 pagi," katanya pada sidang media di lokasi penahanan tahanan berkenaan, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, susulan beberapa penahanan dibuat, kini berbaki 205 lagi tahanan yang lolos untuk dikesan.

"Ia memerlukan tenaga sepenuhnya selain bantuan orang ramai bagi mengesan semua tahanan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan memaklumkan tahanan itu melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang di depot berkenaan.

"Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

Anggota bertugas mengawal tahanan yang berjaya ditahan semula selepas lolos dari Depot Tahanan Sementara Relau di kawasan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jawi di sini. - NSTP / DANIAL SAAD
Anggota bertugas mengawal tahanan yang berjaya ditahan semula selepas lolos dari Depot Tahanan Sementara Relau di kawasan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jawi di sini. - NSTP / DANIAL SAAD
Dua tahanan etnik Rohingya yang ditahan semula polis selepas mereka melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu awal pagi tadi.
Dua tahanan etnik Rohingya yang ditahan semula polis selepas mereka melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu awal pagi tadi.
Berita Harian X