Ahad, 17 April 2022 | 10:25pm

Penganggur baru keluar penjara ditahan terbabit samun bersenjata

IPOH: Seorang penganggur yang baru dibebaskan dari penjara bulan lalu, ditahan polis selepas terbabit kes samun bersenjata yang menyasarkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini.

Suspek, 29, ditahan di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, dekat Bercham, di sini tengah malam tadi dengan polis percaya tangkapan itu berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun menggunakan modus operandi sama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek ditahan jam 12.55 tengah malam tadi, kurang 30 jam selepas laporan polis bagi kes pertama dibuat iaitu pada 14 April lalu.

Katanya, selain wang tunai hasil jualan kedai serbaneka dianggarkan RM244, turut dilarikan suspek dalam kes itu ialah 46 kotak rokok pelbagai jenis.

"Penahanan ini susulan operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh dan polis turut merampas beberapa barang kes termasuk motosikal digunakan suspek semasa tangkapan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman lima hari hingga 20 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata atau cubaan samun, selain Seksyen 393 kanun sama.

Berita Harian X