Khamis, 14 April 2022 | 4:15pm

Geng Belly tumpas, cubaan sogok gagal

KUANTAN: Sepasang suami isteri antara lima individu dikenali `Geng Belly' ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan cubaan rasuah di sekitar daerah ini pada 12 dan 13 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka yang berusia antara 24 hingga 46 tahun itu ditahan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Rompin.

Katanya, dalam operasi itu, empat individu termasuk dua wanita berumur 24 hingga 42 tahun terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah heroin, syabu dan pil yaba dalam empat serbuan.

"Hasil serbuan itu, polis merampas dadah berjumlah RM40,693.49 iaitu heroin seberat 1,979.20 gram (g) bernilai RM26,522.49, syabu seberat 126.71g bernilai RM12,671 dan pil yaba seberat 11g bernilai RM1,500.

"Sebuah kereta bernilai RM40,000 dan sebuah motosikal bernilai RM9,000 disita.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM89,693.49.

"Ujian air kencing mendapati empat suspek terbabit positif dadah methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Ramli berkata, ketika ditahan, seorang daripada suspek berusia 30 tahun menawarkan wang tunai berjumlah RM80,000 sebagai dorongan untuk dilepaskan.

Susulan kejadian itu, katanya, seorang lelaki yang dipercayai pembekal dadah berumur 46 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah, di sini pada jam 12.05 pagi semalam.

Katanya, kehadiran lelaki terbabit untuk memberi wang kepada pihak berkuasa sebagai dorongan untuk melepaskan dua lelaki yang ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas wang tunai RM45,000.

"Suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

"Empat suspek pula ditahan reman tujuh hari sehingga 19 April ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan dadah dari Johor dan Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda dan daerah Rompin.

"Dengan penahanan ini, Polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda dan sekitar keratong, Rompin yang didalangi warga tempatan.

"Rampasan dadah heroin boleh dibekalkan kepada 3,959 penagih, syabu boleh dibekalkan kepada 253 penagih manakala pil yaba pula diberikan kepada 22 penagih dalam masa sehari," katanya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di sekitar Kuantan. - NSTP/Asrol Awang
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di sekitar Kuantan. - NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X