Selasa, 12 April 2022 | 2:47pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Penipu Macau Scam kini menyamar pegawai KKM

MELAKA: Hubungi secara menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mendakwa butiran peribadi mangsa dimanipulasi pihak ketiga bagi melakukan jenayah.

Itu menjadi taktik terbaru sindiket penipuan Macau Scam yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, setakat ini sudah memperdaya dua mangsa di negeri ini, menyebabkan membabitkan kerugian berjumlah RM259,642.

Ketua JSJK negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata sindiket terbabit aktif memperdaya dengan menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri kononnya sebagai pegawai KKM.

Beliau berkata, mangsa diberitahu bahawa butiran peribadinya digunakan oleh individu lain untuk pendaftaran penerimaan vaksin dan diarah bekerjasama dengan KKM untuk menyiasat perkara itu.

"Mangsa kemudiannya dihubungkan dengan panggilan telefon daripada pihak 'polis' untuk pengesahan lanjut yang mana sindiket juga mendakwa butiran diri mangsa terbabit kes pengubahan wang haram dan jika gagal bekerjasama dia boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Sindiket akan mengarahkan mangsa untuk memberikan segala maklumat akaun kononnya bagi tujuan semakan audit dan selepas diberikan akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan atas talian, wang akan dipindahkan ke akaun suspek," katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Sundra berkata, pada 8 April lalu kontinjen Melaka menerima laporan daripada penuntut institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun dan suri rumah berusia 60 tahun ditipu membabitkan modus operandi sama.

"Penuntut itu membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam dengan mendakwa kerugian RM12,000 sementara suri rumah menyatakan duit simpanannya RM247,642 lesap dalam laporan di Balai Polis Simpang Ampat.

"Katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sementara itu, Sundra Raja berkata, bagi tahun ini JSJK Melaka menerima 93 laporan penipuan Macau Scam dengan kerugian lebih RM321,543.92.

"Justeru polis menasihati orang ramai berhati-hati dengan panggilan yang mencurigakan selain membuat semakan nomborakaun dan nombor telefon suspek melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat naik aplikasi "Semak mule CCID," katanya.

Berita Harian X