Ahad, 10 April 2022 | 4:08pm
Foto hiasan AFP
Foto hiasan AFP

Sindiket sasar pengguna TikTok digempur

KUALA LUMPUR: Polis Daerah Dang Wangi menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan pemilik akaun aplikasi TikTok, petang semalam.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu satu unit kediaman di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru, jam 2.50 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata serbuan itu dibuat susulan maklumat berkaitan kegiatan penipuan dalam talian oleh tiga lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun terbabit sejak sebulan lalu.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan pemilik akuan TikTok dalam kalangan warga tempatan dan warga asing di luar negara dan semua tiga lelaki yang ditahan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mendapatkan mangsa dengan cara menambah kenalan dan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi berkenaan.

"Senarai rakan TikTok itu kemudian akan diserahkan kepada satu kumpulan sindiket lain bagi tujuan penipuan dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan Polis Daerah Dang Wangi terhadap sebuah unit kondominium yang dipercayai digunakan sindiket terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan pemilik akaun aplikasi TikTok, petang semalam. - Foto polis
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan Polis Daerah Dang Wangi terhadap sebuah unit kondominium yang dipercayai digunakan sindiket terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan pemilik akaun aplikasi TikTok, petang semalam. - Foto polis

Noor Dellhan berkata, dalam serbuan sama pihaknya merampas tiga unit komputer riba dan 21 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

"Pada masa ini siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua tangkapan sedang ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kita sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan yang bekerjasama dengan tiga suspek terbabit.

"Justeru saya menyarankan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat atau sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan penipuan secara dalam talian dengan memaklumkan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222," katanya.

Berita Harian X