Jumaat, 8 April 2022 | 9:50pm
Tiga lelaki ditahan polis berhubung siasatan lapan kes samun - Foto NSTP/Ihsan polis
Tiga lelaki ditahan polis berhubung siasatan lapan kes samun - Foto NSTP/Ihsan polis

3 lelaki terbabit 8 kes samun ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menyelesaikan lapan kes samun yang berlaku di sekitar Cheras, Kajang dan Ampang dekat sini dengan penahanan tiga lelaki di sekitar Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata suspek pertama ditahan di sebuah kawasan perumahan di Bandar Permaisuri, Cheras, kira-kira jam 8.30 malam.

"Susulan daripada tangkapan itu, polis berjaya membuat dua tangkapan baharu ke atas dua lelaki, kira-kira jam 10.30 malam dan merampas pakaian, kenderaan serta senjata yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun.

"Kesemua suspek yang ditangkap berumur lingkungan 21 hingga 25 tahun dan semakan mendapati mereka memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua suspek dipercayai terbabit dalam kes samun kedai serbaneka di Taman Len Seng, Cheras baru-baru ini membabitkan kerugian RM149.90.

"Hasil tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan lapan kes samun yang berlaku di sekitar kawasan Cheras, Kajang dan Ampang.

"Kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 13 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X