Sabtu, 2 April 2022 | 8:44pm
Dua pemandu lori maut apabila dua lori bertembung dalam kejadian di simpang tiga, Kilometer 18, Jalan Lipis- Merapoh, tengah hari tadi. Foto ihsan PDRM
Dua pemandu lori maut apabila dua lori bertembung dalam kejadian di simpang tiga, Kilometer 18, Jalan Lipis- Merapoh, tengah hari tadi. Foto ihsan PDRM

2 pemandu maut, lori bertembung

LIPIS: Dua pemandu maut apabila lori yang mereka pandu bertembung di simpang tiga Kilometer 18, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Simpang Berchang, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata dalam kejadian itu jam 1.15 tengah hari, lori jenis Nissan Rigid yang dipandu Sulaiman Sabtu, 59, bertembung dengan lori Scania dipandu Zuraini Zahari, 54, menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit remuk teruk.

Sulaiman yang tinggal di Taman Bakti, Padang Tengku, dekat sini dan Zuraini, beralamat di Kampung Bukit Gachong, Kuala Pilah Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis.

"Siasatan awal dan keterangan saksi mendapati, lori Nissan Rigid dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke arah Merapoh. Apabila sampai di tempat kejadian, iaitu di simpang tiga Berchang, pemandu lori terbabit cuba mengelak sebuah pikap yang keluar dari simpang.

"Keadaan itu menyebabkan lori Nissan masuk lorong bertentangan sehingga berlaku kemalangan dengan lori Scania dipandu Zuraini yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Kedua-dua kenderaan terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan kerosakan kemalangan, selain sampel darah kedua-dua pemandu akan diambil untuk ujian toksikologi.

Berita Harian X