Jumaat, 1 April 2022 | 6:36pm

72 penjawat awam ditahan SPRM Johor sejak 2020

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 72 penjawat awam atas pelbagai kesalahan berkaitan rasuah dan penyelewengan di negeri ini sejak 2020.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias berkata, penjawat awam juga menjadi kumpulan tertinggi ditahan SPRM sepanjang tempoh berkenaan, diikuti 56 tangkapan membabitkan pekerja swasta dan 46 orang awam.

"Sepanjang tempoh sama iaitu antara 2020 hingga Mac lalu, sejumlah 165 kertas siasatan berkaitan rasuah dengan 83 pertuduhan dilakukan di mahkamah.

"Ia membabitkan 82 kertas siasatan pada 2020, diikuti 61 pada tahun lalu dan 22 lagi sepanjang tiga bulan pertama tahun ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas keseluruhan tangkapan, Azmi berkata ia membabitkan 44 tangkapan pada 2020, diikuti 89 pada tahun lalu dan 41 tangkapan antara Januari hingga Mac lalu.

Katanya, SPRM Johor turut menerima 784 maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh sama.

"Melalui kes direkodkan, SPRM mencatat jumlah sitaan keseluruhan RM6.834 juta bagi tempoh sama, selain melucut hak rampasan pesalah rasuah keseluruhan RM210,701," katanya.

Azmi berkata, SPRM Johor turut melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Beliau berkata, pada 2020 dan 2021, SPRM Johor memberikan khidmat nasihat kepada lapan agensi kerajaan dengan memberikan 27 cadangan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan sektor terbabit, bagi menutup segala ruang dan peluang berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"SPRM Johor menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan pencegahan rasuah bagi menyampaikan maklumat antirasuah secara berterusan kepada kumpulan sasar seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar intitusi pengajian tinggi dan sekolah.

"Sepanjang 2020 hingga Mac tahun ini, sebanyak 188 ceramah diberikan kepada semua kumpulan sasar, selain 95 program berteraskan pencegahan rasuah dan 96 aktiviti lain yang merangkumi penganjuran bengkel, keterlibatan dan diskusi meja bulat," katanya.

Berita Harian X