Rabu, 30 March 2022 | 6:58pm
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Halim bersama pegawainya menunjukkan pokok ganja milik seorang artis yang dirampas dalam rumah kondominium miliki artis tersebut pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Halim bersama pegawainya menunjukkan pokok ganja milik seorang artis yang dirampas dalam rumah kondominium miliki artis tersebut pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. - Foto fail NSTP

Penyanyi nasyid akan didakwa di mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal yang ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah unit kondominium Jumaat lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek berusia 47 tahun itu akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek akan didakwa mengikut seksyen berkenaan di mahkamah esok," katanya kepada BH, hari ini.

Jumaat lalu, BH melaporkan kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer muzik menanam pokok ganja terbongkar selepas polis menyerbu sebuah unit kondominium di Kota Damasara.

Dalam serbuan jam 5.30 petang, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja dalam sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemui dua plastik lutsinar ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,200.

Mohamad Fakhrudin dipetik berkata, polis turut menemui cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Wish dan sejumlah wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM40,700.

Hasil ujian saringan awal urin yang dijalankan ke atas suspek yang juga seorang komposer didapati positif dadah jenis THC dan dia juga sudah terbabit dengan penagihan dadah selama 10 tahun.

Berita Harian X