Isnin, 28 March 2022 | 8:14pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Suspek dalang utama samun kedai emas ditahan

KUALA LUMPUR: Suspek utama yang mendalangi rompakan sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di sini pada 23 Mac lalu membabitkan kerugian RM5,000 berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Taiping, Perak, awal pagi tadi.

Suspek yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sebuah hotel di Taman Aor Jaya, Taiping, kira-kira jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata menerusi tangkapan itu, polis merampas 12 utas gelang kaki kanak-kanak yang ditemui dalam simpanannya serta sebuah motosikal jenis Honda Dash.

"Susulan tangkapan ke atas suspek, kita menahan empat lagi suspek untuk membantu siasatan.

"Setakat ini, seramai lima suspek termasuk suspek utama berusia antara 29 hingga 49 tahun berjaya ditangkap bagi membantu siasatan berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 23 Mac lalu, BH melaporkan polis menerima laporan satu kejadian samun sebuah kedai emas di Jalan TAR pada jam 2.47 petang.

Noor Dellhan dipetik berkata, seorang lelaki masuk ke dalam premis dipercayai membawa sebatang besi yang dibalut dengan kain lalu memecahkan rak pameran barang kemas.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Dash dan jumlah kerugian dianggarkan RM5,000.

Noor Dellhan berkata, pihak BSJ IPD Dang Wangi kini sedang giat mengesan barang kemas lain yang dilarikan dalam kejadian itu.

"Kesemua suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta yang sama," katanya.

Dalam pada itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X