Ahad, 27 March 2022 | 12:05pm

Stor ganja 1.33 tan

SHAH ALAM: Sejumlah 1.33 tan ganja dianggar bernilai RM3.33 juta dirampas dalam empat serbuan berasingan di Selangor pada Khamis lalu, dengan tiga lelaki dipercayai terbabit kegiatan sindiket pengedaran dadah ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata empat suspek ditahan itu berusia antara 23 hingga 46 tahun membabitkan seorang ahli perniagaan, seorang penghantar barang dan dua penganggur.

Mengulas lanjut, katanya, dua suspek ditahan di Subang Jaya, seorang lagi di Rawang dan seorang lagi di Semenyih pada hari sama.

"Hasil serbuan di Subang Jaya, polis merampas dadah disyaki jenis ganja seberat 1.33 tan dianggarkan bernilai RM3.33 juta di sebuah rumah dipercayai dijadikan stor bahan terlarang berkenaan.

"Jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 2,576,000 penagih," katanya, di sini semalam.

Ganja bernilai RM3.33 juta dirampas oleh polis di Selangor. - NSTP/Aswadi Alias
Ganja bernilai RM3.33 juta dirampas oleh polis di Selangor. - NSTP/Aswadi Alias

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) menunjukkan kenderaan yang terbabit dengan kes pengedaran dadah pada sidang media di IPK Selangor. - NSTP/Aswadi Alias

Ayob Khan berkata, sindiket membawa masuk bekalan dadah dari Thailand untuk pasaran Selangor dan Johor dengan kegiatan mereka dipercayai aktif sejak pertengahan Januari lalu.

"Selain rampasan dadah, polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk empat kenderaan dan wang tunai dianggarkan bernilai RM331,900 yang menjadikan keseluruhan rampasan RM3.7 juta.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang dari empat suspek terbabit positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 31 Mac ini bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Polis berusaha mengesan saki baki sindiket termasuk dalang yang terbabit untuk diheret ke muka pengadilan.

"Siasatan masih berjalan lagi. Mungkin dalam masa seminggu ini, kita ada gambaran lebih jelas mengenai aktiviti sindiket ini," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua kiri) menunjukkan ganja bernilai RM3.33 juta dirampas oleh polis di Selangor. - NSTP/Aswadi Alias
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua kiri) menunjukkan ganja bernilai RM3.33 juta dirampas oleh polis di Selangor. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X