Sabtu, 26 March 2022 | 6:10pm
Rakaman imej dua suspek menaiki motosikal yang menyamun warga emas di Bandar Tun Razak di Cheras menyebabkan mangsa kerugian RM25,000 pagi tadi. - EMAIL
Rakaman imej dua suspek menaiki motosikal yang menyamun warga emas di Bandar Tun Razak di Cheras menyebabkan mangsa kerugian RM25,000 pagi tadi. - EMAIL

Polis buru 2 suspek samun warga emas

KUALA LUMPUR: Polis memburu dua lelaki bersenjatakan parang yang menyamun seorang wanita warga emas yang videonya tular di media sosial hari ini.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah di Kampung Konggo di Bandar Tun Razak, menyebabkan mangsa yang berusia 77 tahun itu kerugian RM25,000.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi tadi dan suspek dikesan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.

"Kita mengesan satu rakaman video yang ditularkan di media sosial kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

"Aksi dalam video itu menunjukkan suspek menarik dua rantai leher dan memotong dua gelang tangan dipakai mangsa menggunakan pemotong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dilihat bersenjatakan parang kemudian melarikan diri menaiki sebuah motosikal dan semakan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Mangsa cedera pada tangan dan ketika kejadian, wanita itu dikatakan mahu keluar makan bersama seorang anak perempuannya yang turut berada di tempat kejadian.

"Usaha memburu suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk membantu dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881.

Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Muhammad Idzam pada masa sama mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan rakaman video berkaitan kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Berita Harian X