Jumaat, 25 March 2022 | 4:01pm
Tular video di media sosial menunjukkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya mengeluarkan kepala daripada dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya di Tambun. - Foto ihsan pembaca
Tular video di media sosial menunjukkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya mengeluarkan kepala daripada dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya di Tambun. - Foto ihsan pembaca

Bapa 3 kanak-kanak lakukan aksi bahaya ditahan

IPOH: Polis sudah menahan bapa kepada tiga kanak-kanak yang melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan daripada dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya di Tambun di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya mengenal pasti pemilik kenderaan berkenaan, sebelum menahan lelaki berusia 37 tahun itu di Sunway City, jam 9.30 malam tadi.

Beliau berkata, polis turut memanggil ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat, tujuh dan lapan tahun itu untuk membantu siasatan.

"Pada saya tindakan bapa kepada kanak-kanak itu memang tidak bertanggungjawab kerana membenarkan anaknya keluarkan kepala daripada kereta yang sedang bergerak laju.

"Siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan mempunyai 32 rekod kesalahan trafik dan dia direman selama dua hari bermula hari ini. Tindakan tegas akan dikenakan," katanya selepas perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 Peringkat Negeri Perak di perkarangan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang menyiasat kejadian yang tular menerusi video menunjukkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak dalam sebuah kereta dipercayai dirakamkan di Jalan Tambun di sini.

Video berdurasi seminit dua saat di laman Facebook itu memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala daripada sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya.

Berita Harian X