Sabtu, 12 March 2022 | 9:39am
Antara dadah dirampas dalam serbuan susulan tangkapan ke atas seorang tokan di Melaka. - FOTO IHSAN PDRM
Antara dadah dirampas dalam serbuan susulan tangkapan ke atas seorang tokan di Melaka. - FOTO IHSAN PDRM

Polis tangkap tokan, rampas syabu dan pil yaba

MELAKA: Polis negeri ini menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas keseluruhan 894.54 gram syabu serta 1,670 pil yaba, petang Rabu lalu.

Semua dadah itu dirampas dalam dua serbuan berasingan semalam, susulan maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di tepi jalan M 19, Taman Merdeka, dekat Batu Berendam, di sini jam 6.30 petang.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek, katanya pihaknya menemui 120.54 gram dadah syabu dan 20 biji pil yaba dalam milikannya dipercayai untuk diedarkan.

"Siasatan lanjut membawa polis ke sebuah rumah di Taman Rumpun Bahagia, Bachang kira-kira jam 8.30 malam sebelum 774 gram dadah syabu dan 1,650 pil yaba lagi dirampas.

"Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan 894.5 syabu gram dan 1,670 pil yaba termasuk dua motosikal membabitkan nilai RM13,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek kini direman tujuh hari bermula Khamis lalu.

Berita Harian X