Isnin, 7 March 2022 | 9:33am
Pihak veterinar melakukan siasatan awal di lokasi penemuan kucing ditemukan mati bergelimpangan di kawasan Pantai Bukit Keluang, Besut, semalam. - Foto ihsan embaca
Pihak veterinar melakukan siasatan awal di lokasi penemuan kucing ditemukan mati bergelimpangan di kawasan Pantai Bukit Keluang, Besut, semalam. - Foto ihsan embaca

Darah pada mulut dan hidung, terburai perut

KUALA TERENGGANU: Kesan lebam biru pada perut, darah pada mulut dan hidung, serta ada yang terburai perut.

Demikian antara hasil pemeriksaan awal terhadap kira-kira 20 kucing yang ditemukan bergelimpangan disyaki akibat diracun, termasuk 15 mati, di kawasan Pantai Bukit Keluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata pihak penguatkuasaan dan teknikal daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Besut serta Kuala Terengganu sudah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

Katanya, polis juga telah membuka kertas siasatan, selepas menerima aduan daripada seorang individu yang mendapat video melalui WhatsApp berhubung kejadian itu, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati bangkai haiwan berkenaan ditemukan seorang lelaki yang pada mulanya terlihat beberapa kucing mati bergelimpangan di atas tanah sekitar pantai itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

"Dua kucing terbabit ditemukan mati berdekatan persisiran pantai, manakala 13 lagi di atas tanah berdekatan pokok.

"Selain itu, dua kucing dilaporkan masih hidup tetapi berada dalam keadaan kesakitan. Lelaki itu kemudian menanam semua kucing yang sudah mati berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Rozak berkata, pihak veterinar yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian kemudian mengorek semula dan mengeluarkan semua bangkai kucing yang ditanam itu, sebelum mengambil sampel untuk tujuan analisis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat Ke Atas Binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengunjung di Pantai Bukit Keluang terkejut apabila menemui bangkai kira-kira 20 kucing bergelimpangan disyaki akibat diracun, jam 9.30 pagi semalam.

Berita Harian X