Ahad, 6 March 2022 | 11:51am

MPV tak sempat elak, penunggang basikal 'terbang'

KUALA LUMPUR: Keseronokan seorang penunggang basikal menuruni laluan bukit dengan laju, terhenti selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hendak membelok masuk ke simpang di Jalan Nusa, Bukit Tunku di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.11 pagi itu, penunggang basikal berusia 17 tahun cedera ringan, manakala pemandu MPV Toyota Vellfire tidak cedera.

Beberapa rakaman kejadian turut tular di media sosial sejak semalam dipercayai dirakam rakan mangsa yang turut sama berbasikal bersamanya menunjukkan aksinya meluncur laju menuruni bukit di laluan itu.

Menerusi rakaman video yang tular, kelihatan dari jauh penunggang basikal itu menuruni bukit dengan laju dan pada masa sama, datang sebuah MPV dari arah bertentangan mahu membelok di satu simpang jalan.

Kedua-duanya dilihat cuba membrek dan mengelak antara satu sama lain sebelum bertembung menyebabkan penunggang basikal seolah-olah 'terbang' akibat pelanggaran itu.

Berikutan itu, timbul perdebatan dalam kalangan netizen dengan sesetengahnya menyalahkan penunggang basikal yang tidak mementingkan keselamatan dengan cuba menguji kelajuan dan ada yang menyalahkan pemandu MPV kerana tidak berhati-hati ketika membelok.

Mengulas kejadian itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Sarifudin Mohd Salleh, berkata pihaknya mengesan tular satu rakaman video berdurasi sembilan saat dimuat naik seorang pengguna Facebook, kira-kira jam 9 malam tadi.

"Kedua-dua pihak sudah tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee membuat laporan dan membantu siasatan polis.

"Kes disiasat mengikut Rule 3 (2) (b) LN 166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan yang berjalan terus sebelum melintas laluan kenderaan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua pengguna jalan raya tidak kira pemandu kenderaan atau penunggang basikal dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan lalu-lintas bagi mengelak kemalangan.

Tangkap layar daripada rakaman kejadian yang tular di media sosial menunjukkan aksi seorang penunggang basikal meluncur laju menuruni bukit sebelum bertembung dengan sebuah MPV di Jalan Nusa, Bukit Tunku, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar daripada rakaman kejadian yang tular di media sosial menunjukkan aksi seorang penunggang basikal meluncur laju menuruni bukit sebelum bertembung dengan sebuah MPV di Jalan Nusa, Bukit Tunku, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X