Jumaat, 4 March 2022 | 12:54pm

Geng curi duit mesin kedai dobi tumpas

KUCHING: Geng Kong yang mendalangi 13 kes mencuri duit di kedai dobi layan diri 24 jam, mesin jualan layan diri, mencuri motosikal, samun dan pecah rumah sekitar bandar raya ini tumpas apabila empat lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tiga daripada suspek yang berusia 20 hingga 63 tahun ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga Isnin ini manakala juvana dibebaskan dengan jaminan.

Beliau berkata, Geng Kong yang melakukan kegiatan antara jam 2 pagi hingga 5 pagi turut menyamun dua wanita yang kebetulan sedang mencuci pakaian di kedai dobi layan diri yang menjadi sasaran kumpulan terbabit.

"Pada mulanya polis menahan tiga individu berusia 20, 21 dan remaja berusia 15 tahun dan kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki warga emas berusia 63 yang juga pemilik bengkel motosikal, disyaki terbabit dengan kumpulan itu melakukan jenayah.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 20 tahun iaitu ketua kumpulan berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau, suspek berusia 21 tahun memiliki dua rekod, lelaki warga emas pula memiliki lima rekod jenayah lampau manakala remaja itu pula tidak lagi bersekolah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di sini, hari ini.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang daripada suspek antaranya sebuah kereta, tiga motosikal, topi keledar serta peralatan seperti sarung tangan, pemotong besi, parang, pisau lipat, playar, wayar serta alat pencucuh api yang disyaki digunakan oleh kumpulan itu melakukan kegiatan pecah rumah serta mencuri duit di mesin layan diri dan dobi.

"Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam tiga kes samun, tiga kes curi motosikal dan tujuh kes pecah kedai, mencuri duit mesin dobi dan duit mesin layan diri sekitar bandar raya ini.

"Siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan polis juga sedang meneliti untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Ahsmon berkata, hasil siasatan mendapati remaja lelaki terbabit bertindak sebagai 'tonto' yang mengawasi sekeliling ketika ahli kumpulan lain menjalankan kegiatan mencuri duit di dobi dan mesin layan diri.

"Mereka juga cukup licik apabila menukar warna motosikal yang mereka gunakan setiap kali melakukan jenayah dan siasatan mendapati semua motosikal itu pula adalah hasil curi," katanya.

Mengenai jumlah kerugian wang tunai yang dialami kedai dobi layan diri dan mesin layan diri, Ahsmon berkata, jumlahnya tidak besar kerana kumpulan terbabit biasanya melakukan kegiatan awal pagi yang ketika itu tidak ramai yang menggunakan mesin terbabit.

"Namun kumpulan itu juga bertindak ganas apabila menggunakan senjata tajam ketika menyamun mangsa di kedai dobi," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, mengadakan sidang media berhubung tangkapan kes samun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, mengadakan sidang media berhubung tangkapan kes samun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X