Selasa, 1 March 2022 | 7:03pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepi perintah penggantungan bersyarat

PUTRAJAYA: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Mohd Jarjis hari ini berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diperoleh dua cucunya yang antara lain melarang beliau mendedahkan maklumat berkaitan akaun Rantai Wawasan Sdn Bhd kepada pihak ketiga.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara membenarkan rayuan Aminah Abdullah, 87, untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat yang diberikan Mahkamah Tinggi pada September tahun lalu kepada Nur Anis Jamaludin dan Ikwan Hafiz Jamaludin.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah membuat perintah itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kosma Palm Oil Mill Sdn Bhd & lain-lain menentang Koperasi Serbausaha Makmur Bhd yang memutuskan pemohon perlu membuktikan terdapat keadaan khas sebelum penggantungan dibenarkan.

"Kami berpandangan tiada keadaan khas mewajarkan keputusan Mahkamah Tinggi," katanya yang bersidang dengan Datuk Supang Lian dan Datuk Nazlan Mohd Ghazali.

Yaacob berkata, terdapat merit dalam rayuan Aminah, justeru mahkamah membenarkannya dengan kos RM10,000 terhadap Nur Anis dan Ikwan Hafiz.

Dalam saman difailkan pada 3 Januari 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, gagal memasukkan saham Rantai Wawasan, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Sdn Bhd sebagai harta pusaka dalam senarai aset dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Penyataan tuntutan Aminah mendakwa kedua-dua defendan berbuat demikian dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

Pada 13 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah mendapatkan deklarasi bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai harta pusaka peninggalan arwah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan enam juta saham Alpine Motion dan dua juta saham Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Pada 20 September tahun lalu, Nur Anis and Ikwan Hafiz memperoleh perintah penggantungan bersyarat daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu pelupusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai sebahagian harta pusaka Jamaludin.

Perintah penggantungan bersyarat itu antara lain melarang Aminah atau peguamnya daripada menunjukkan atau mendedahkan dan menyediakan afidavit berkaitan akaun terbabit atau mana-mana bahagian daripadanya kepada pihak ketiga serta mengehadkan afidavit berkaitan akaun terbabit kepada Aminah atau peguamnya, Tetuan Wan Merican Hamzah & Sheikh sahaja.

Aminah turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan deklarasi saham dua lagi syarikat dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka.

Rayuan berhubung isu itu dijadualkan didengar Mahkamah Rayuan pada 14 Mac depan.

Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas pada 4 April 2015.

Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, manakala peguam S Suhendran mewakili Nur Anis serta peguam Frank Wong mewakili Ikhwan Hafiz.– BERNAMA

Berita Harian X