Isnin, 28 Februari 2022 | 1:59pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan antara dadah yang telah dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan antara dadah yang telah dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Dadah RM9.39 juta dirampas, pasangan kekasih ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 260.85 kilogram (kg) bernilai RM9.39 juta selepas menahan sepasang kekasih dalam dua serbuan sekitar ibu negara, pada Selasa lalu.

Menerusi Ops Tapis Khas 2 pada jam 7.15 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan suspek lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam masing-masing berusia 29 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata turut disita wang tunai berjumlah RM120,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta 1988).

Katanya, siasatan mendapati suspek menjadikan kondominum mewah sebagai tempat penyimpanan bahan terlarang berkenaan sejak hujung tahun lalu.

"Dadah dipercayai dibawa masuk dari utara tanah air itu juga akan diseludup ke Sabah dan Sarawak.

"Semakan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mengesahkan pasangan itu positif syabu.

"Bahan terlarang dirampas pula boleh dibekalkan kepada 1.3 juta pengguna dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Suspek terbabit direman tujuh hari hingga Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222 bagi membantu siasatan.

Berita Harian X