Khamis, 24 Februari 2022 | 7:42pm

Tak bayar sewa, tumbuk pula

AMPANG JAYA: Seorang pengawal keselamatan sebuah bank ditahan selepas mencederakan pengutip sewa biliknya, di sini, Isnin lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan pagi kelmarin selepas mangsa berusia 26 tahun membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan awal mendapati suspek dilaporkan mengamuk di pejabat mangsa di Jalan Pandan Indah, Pandan Indah, di sini.

"Mangsa yang ditugaskan untuk mengutip sewa bilik dilaporkan menukar kunci mangga bilik itu selepas suspek tidak membayar sewa bulanan RM600.

"Mangsa cuba berbincang secara baik dengan suspek, namun sebaliknya ditumbuk pada bahagian muka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian pipi kiri, luka di bawah mata dan bengkak jari kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

"Suspek direman tiga hari dan akan didakwa di Mahkamah Ampang esok mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X