Rabu, 23 Februari 2022 | 1:02pm

Sebutan kes 'Raja Bomoh' ditangguh 2 bulan

IPOH: Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, membenarkan sebutan kes lelaki digelar 'Raja Bomoh' atau nama sebenar Ibrahim Mat Zin yang disiasat atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, ditangguhkan selama dua bulan.

Hakim Syarie, Azman Saad, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak, supaya tempoh dilanjut bagi melengkapkan siasatan.

"Saya sebenarnya berhasrat untuk tidak memanjangkan tempoh siasatan ini.

"Saya dengan ini membenarkan penangguhan selama dua bulan dan ia adalah penangguhan terakhir," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 25 April depan.

Dalam perkembangan sama, Azman turut membenarkan permohonan Suliaha Abdul Hamid, 62, untuk menukar penjamin berikutan penjamin sebelum ini dijangkiti COVID-19, selain sukar untuk hadir ke mahkamah.

Terdahulu, Ibrahim, 71, dan Suliaha tiba di pekarangan mahkamah secara berasingan.

Pada prosiding itu, kedua-dua Ibrahim dan Suliaha tiada diwakili peguam.

Suhaili ketika ditemui pemberita selepas prosiding terbabit pula berkata, penangguhan akhir selama dua bulan itu diberi berdasarkan kelayakan peruntukan sedia ada.

"Ada keperluan untuk kita mendapatkan pelanjutan tempoh. Berdasarkan peruntukan yang ada, kita layak untuk menambah lagi dua bulan.

"Dalam tempoh lanjutan ini, akan ada tindakan untuk melengkapkan siasatan dan menambah lagi dengan apa-apa keperluan siasatan," katanya.

Pada 7 Januari lalu, Ibrahim yang disiasat atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ibrahim bersama Suliaha yang juga dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' masing-masing diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu dikenali sebagai 'Raja Bomoh' berhubung kes ritual menolak banjir didakwa dilakukan di Dataran JPS, Teluk Intan.

Rakaman video berdurasi 25 minit yang tular dalam media sosial menunjukkan 'Raja Bomoh' bersama 'Puteri Zaleha' melakukan ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Berita Harian X