Jumaat, 18 Februari 2022 | 3:25pm

Guru besar beri kontrak kepada syarikat milik keluarga ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Seorang guru besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk melantik syarikat milik keluarganya, membabitkan kontrak pembekalan bernilai lebih RM36,000.

Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai melantik syarikat milik isteri dan adik kandungnya untuk membuat pembekalan kepada sekolah tempat beliau bertugas.

Guru besar itu ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009

"Lelaki terbabit dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 2019 hingga awal tahun ini, seramai 13 orang pengetua dan guru besar di negeri ini, sudah ditahan serta dituduh atas kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, manakala dua lagi sudah dijatuhkan hukuman.

Katanya, SPRM sejak 2019 sudah mengadakan beberapa sesi penerangan berhubung kesalahan-kesalahan di sekolah kepada guru besar dan pengetua dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

"Antara program terkini yang telah dianjurkan oleh SPRM Sabah ialah Seminar Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Daerah Sandakan dan Beluran pada di Kota Kinabalu pada 6 Februari lalu," katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan semua guru besar dan pengetua sekolah serta seluruh warga pendidik agar tidak menyalahgunakan jawatan dan sentiasa memikul amanah yang telah diberikan dengan integriti yang tinggi.

Berita Harian X