Jumaat, 18 Februari 2022 | 3:20pm
Polis sudah mengenal pasti dua lelaki yang disyaki terbabit memukul seorang pengawal keselamatan berusia 41 tahun di Pandan Indah, petang semalam. - Foto ihsan pembaca
Polis sudah mengenal pasti dua lelaki yang disyaki terbabit memukul seorang pengawal keselamatan berusia 41 tahun di Pandan Indah, petang semalam. - Foto ihsan pembaca

Polis kenal pasti 2 lelaki pukul pengawal keselamatan

AMPANG JAYA: Polis sudah mengenal pasti dua lelaki yang disyaki terbabit memukul seorang pengawal keselamatan berusia 41 tahun di Pandan Indah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 41 tahun yang juga warga Nepal, dilaporkan melarang motosikal dinaiki dua suspek terbabit diletakkan di pintu hadapan pusat beli-belah Pandan Capital, sebelum kedua-dua mereka masuk ke dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata selepas selesai urusan, kedua-dua lelaki terbabit keluar dan memukul mangsa.

"Seorang daripada suspek dilaporkan menampar dan menumbuk mangsa pada muka dan mata sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.

"Pengadu kemudian dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan pada mata sebelah kiri dan kanan serta hidung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek sudah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati sehingga berlaku pertengkaran mulut di antara mangsa dan dua lelaki terbabit sebelum menumbuk mangsa," katanya.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan mencederakan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X