Jumaat, 18 Februari 2022 | 12:26pm
Pertengkaran membabitkan beberapa lelaki di hadapan sebuah bangunan di Pandan Indah, Ampang Jaya, yang tular di media sosial, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Pertengkaran membabitkan beberapa lelaki di hadapan sebuah bangunan di Pandan Indah, Ampang Jaya, yang tular di media sosial, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca

Pengawal keselamatan dipukul kerana parkir

AMPANG JAYA: Seorang pengawal keselamatan warga Nepal cedera akibat dipukul dua lelaki hanya kerana tidak puas hati dengan kawasan parkir, dalam kejadian di hadapan sebuah bangunan di Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 41 tahun yang sedang bertugas di bangunan berkenaan jam 2.15 petang, didatangi sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

"Motosikal berkenaan kemudian terus parkir di hadapan pintu bangunan berkenaan dan pengadu tidak membenarkan kenderaan terbabit diparkir di kawasan berkenaan.

"Selepas selesai urusan, kedua-dua lelaki terbabit keluar dan memukul pengadu dengan seorang daripada mereka menampar dan menumbuk mangsa di bahagian muka.

"Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mata mangsa bengkak selain hidungnya berdarah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kedua-dua suspek tempatan terbabit yang masing-masing berusia 31 dan 33 tahun.

"Siasatan awal dilakukan mendapati punca kejadian itu membabitkan kawasan parkir memandangkan ada pertengkaran mulut antara pengadu dengan dua lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa lalu bertindak menumbuknya.

"Siasatan akan diteruskan selepas permohonan arahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana kesalahan mencederakan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil tindakan secara terburu-buru atau mengikut perasaan jika ada apa-apa kesalahan sebaliknya buat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.

Terdahulu, satu video menunjukkan pertengkaran membabitkan beberapa lelaki di hadapan sebuah bangunan di Pandan Indah tular di media sosial, hari ini.

Berita Harian X