X
Rabu, 16 Februari 2022 | 1:27pm

Peniaga baja rasuah pegawai KPDNHEP didenda RM100,000

IPOH: Seorang peniaga baja didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku salah atas tuduhan merasuah pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) empat tahun lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid, turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan sekiranya tertuduh, Lee Soon Teck, 53, gagal menjelaskan denda berkenaan.

Soon Teck mengaku salah atas pertuduhan dibacakan iaitu secara rasuah memberi suapan wang tunai RM30,150 kepada Pembantu Penguat Kuasa Muhammad Fithry Hassan yang bertugas di Ibu Pejabat KPDNHEP di Putrajaya.

Suapan itu sebagai satu balasan untuk melepaskan tertuduh daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis Guan Choon di Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar pada jam 10.30 pagi 8 Oktober 2018.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, manakala tertuduh diwakili peguam V A Kailashii.

M Bakri turut memerintahkan wang tunai RM30,150 yang juga wang suapan rasuah dalam kes ini dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

Lee Soon Teck, 53, dikenakan denda RM100,000 selepas mengaku salah merasuah pegawai KPDNHEP di Mahkamah Sesyen Ipoh. - NSTP/L Manimaran
Lee Soon Teck, 53, dikenakan denda RM100,000 selepas mengaku salah merasuah pegawai KPDNHEP di Mahkamah Sesyen Ipoh. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X