Rabu, 16 Februari 2022 | 10:42am

Sarang proses heroin, syabu di Meru Raya digempur

IPOH: Polis membongkar kegiatan sindiket yang menjadikan sebuah rumah di Meru Raya, di sini, sebagai makmal memproses dadah yang dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu.

Susulan operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Perak dengan kerjasama Bukit Aman itu, enam lelaki ditahan dan dadah jenis heroim seberat 9.42 kilogram (kg) serta 1.14kg syabu dirampas dengan nilai keseluruhan RM167,268.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semua suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun ditahan melalui lima serbuan sekitar Perak dan Negeri Sembilan Pada Ahad dan Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menjadikan rumah sebagai makmal untuk memproses dadah.

"Selain rampasan heroin dan syabu, kita turut merampas bahan kimia dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Sebahagian daripada kenderaan yang dirampas dalam serbuan kes dadah di Perak dan Negeri Sembilan. - Foto NSTP/ L Manimaran
Sebahagian daripada kenderaan yang dirampas dalam serbuan kes dadah di Perak dan Negeri Sembilan. - Foto NSTP/ L Manimaran

"Hasil maklumat, heroin dan syabu yang diproses sindiket ini adalah untuk pasaran tempatan, yang mana jumlah dadah dirampas boleh menampung keperluan 52,800 penagih," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, semua suspek direman enam hari bermula Isnin lalu hingga 19 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, saringan awal mendapati dua suspek positif dadah jenis ganja dan opiate, dengan semuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Selain rampasan dadah, tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sitaan pelbagai aset milik sindiket yang dianggarkan bernilai RM181,500, meliputi lima kenderaan serta dua barangan kemas.

"Justeru nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM348,768 dan kita akan teruskan usaha mengesan saki-baki anggota sindiket ini," katanya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan barangan dirampas dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan ‘port’ memproses dadah di Meru Raya, Ipoh. - Foto NSTP/ L Manimaran
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan barangan dirampas dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan ‘port’ memproses dadah di Meru Raya, Ipoh. - Foto NSTP/ L Manimaran
Berita Harian X