Selasa, 15 Februari 2022 | 5:58pm

Pemandu langgar 4 kenderaan ada kad rawatan mental

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki disyaki memandu kereta secara melulu dan laju hingga melanggar empat kenderaan lain di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan berhampiran sebuah pusat beli-belah dekat Serdang, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 3.50 petang, kereta jenis BMW dipandu suspek melanggar tiga kereta iaitu PERODUA Myvi, Mazda 8 dan Honda Jazz, selain sebuah motosikal Yamaha LC135 hingga penunggangnya terjatuh serta cedera.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan Baru, Cheras, menahan suspek berusia 36 tahun pada jam 7.10 malam hari sama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai kad rawatan mental di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala ujian saringan air kencing menunjukkan pemandu itu negatif dadah.

Katanya, suspek juga tiada lesen memandu dan saman akan dikeluarkan kepada rakannya kerana meminjamkan kereta berkenaan.

"Kita mendapati kereta dipandu suspek melanggar empat kenderaan lain dari belakang. Penunggang motosikal, Muhammad Hanif Abdul Jabar, 33, turut cedera selepas terjatuh atas jalan akibat kejadian berkenaan.

"Muhammad Hanif yang bekerja sebagai penghantar makanan dan mengalami luka siku kanan serta sakit badan mendapatkan rawatan di klinik swasta.

"Pada masa sama, kita mendapati kereta suspek turut melanggar beberapa kenderaan di Sungai Besi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X