Ahad, 6 Februari 2022 | 9:53pm
Seorang penunggang motosikal maut manakala anak lelakinya patah kaki selepas dirempuh kereta di KM 50, Jalan Ipoh- Kuala Lumpur dekat Tapah, hari ini. - Foto IHSAN PDRM
Seorang penunggang motosikal maut manakala anak lelakinya patah kaki selepas dirempuh kereta di KM 50, Jalan Ipoh- Kuala Lumpur dekat Tapah, hari ini. - Foto IHSAN PDRM

Ayah maut, anak patah kaki motosikal dirempuh

TAPAH: Seorang penunggang motosikal maut manakala anak lelakinya cedera dalam nahas dua kenderaan di Kilometer (KM) 50 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, penunggang motosikal, Annuar Zakariah, 48, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manaka anaknya, Muhammad Arif Putra yang berusia empat tahun patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kemalangan membabitkan motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa dan kereta jenis Perodua Axia.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kereta berkenaan dipandu lelaki berusia 18 tahun dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur.

"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai memasuki lorong bertentangan lalu melanggar motosikal ditunggang mangsa bersama anaknya yang dalam perjalanan pulang ke arah Ipoh.

"Perlanggaran menyebabkan penunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya yang membonceng patah kaki kanan.

"Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mangsa dan anaknya yang beralamat di Kampung Batu Masjid Temoh, Perak dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit ditahan untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X