Khamis, 3 Februari 2022 | 7:34pm
Suspek yang melarikan rantai dan gelang emas dalam kejadian di dua premis berlainan. - Foto ihsan PDRM
Suspek yang melarikan rantai dan gelang emas dalam kejadian di dua premis berlainan. - Foto ihsan PDRM

Lelaki larikan rantai kemas RM20,000 ditahan polis

KULIM: Lelaki yang melarikan rantai emas bernilai RM20,000 di sebuah kedai di Jalan Tunku Abidah di sini, Ahad lalu, ditahan polis di hadapan sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Suspek berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, pada 9 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu turut terbabit dalam satu lagi kes melarikan dua gelang seberat 100 gram bernilai RM25,000 di sebuah kedai emas di Taman Serai Wangi 2, Padang Serai pada 24 Januari lalu.

Kata, dalam kedua-dua kes terbabit, suspek berpura-pura mahu membeli barang kemas sebelum melarikan barang itu selepas pemilik premis memberikan kepadanya untuk dilihat.

"Dalam kedua-dua kes, suspek melarikan diri bersama barang kemas menggunakan motosikal yang diletakkan tidak jauh dari kedai.

"Bagaimanapun, polis yang melakukan operasi mengesan suspek berjaya mengenal pasti identiti serta kediamannya hasil bantuan serta maklumat awam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan daripada itu polis melakukan serbuan di rumah suspek di sebuah kawasan perumahan Isnin lalu, namun dia melarikan diri dan bersembunyi di sebuah hotel di Ipoh, Perak selepas mengetahui menjadi buruan polis.

"Dalam serbuan itu, polis merampas motosikal yang digunakan suspek dalam kedua-dua kejadian terbabit. Hasil siasatan lanjut suspek akhirnya berjaya dikesan dan ditahan di Permatang Pauh.

"Suspek yang sudah berkahwin itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati dia bebas pengaruh dadah," katanya.

Sazalee berkata, suspek mengaku melakukan perbuatan itu seorang diri dan memberitahu sudah menggadai semua barang kemas terbabit di kedai pajak sekitar Klang Lama, Bandar Bukit Mertajam dan Seberang Jaya dengan hasil diperoleh sebanyak RM39,000.

"Setakat ini, kita sudah merampas pakaian serta telefon bimbit yang digunakannya ketika kejadian dan akan merampas semula semua barang kemas yang dipajaknya di semua premis yang dimaklumkan suspek.

"Suspek akan direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X