Rabu, 2 Februari 2022 | 7:52pm

2 menyamar polis untuk menyamun ditahan

AMPANG JAYA: Helah dua lelaki tempatan menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun lelaki warga asing terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan berasingan di Pandan Indah dan Taman Muda, di sini, pada 30 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun yang memaklumkan dia disamun pada 31 Disember lalu.

"Dalam kejadian samun jam 1.20 tengah hari itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh sedang membuat kerja ubah suai rumah di Taman Permata, di sini.

"Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menyatakan menjaga kawasan berkenaan.

"Suspek meminta sejumlah wang tunai dan telefon bimbit milik pengadu sebelum mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM100 serta telefon bimbitnya dan terus beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 55 dan 35 tahun dalam serbuan di Pandan Indah dan Taman Muda jam 12.25 tengah malam, 30 Januari lalu.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod dengan suspek pertama ada tiga rekod berkaitan kes dadah serta jenayah, manakala suspek kedua mempunyai 14 rekod kes dadah dan jenayah selain dikehendaki dalam kes dadah.

"Hasil saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methaphitamin. Soal siasat terhadap suspek akan diteruskan.

"Suspek direman selama lima hari bermula 30 Januari lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/170 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan serta menyamar sebagai penjawat awam," katanya.

Berita Harian X