Isnin, 31 Januari 2022 | 11:16am
Lelaki berpura-pura sebagai pelanggan melarikan rantai emas bernilai RM20,000 dalam kejadian di Jalan Tunku Abidah, Kulim semalam. - Foto ihsan PDRM
Lelaki berpura-pura sebagai pelanggan melarikan rantai emas bernilai RM20,000 dalam kejadian di Jalan Tunku Abidah, Kulim semalam. - Foto ihsan PDRM

Lelaki menyamar pelanggan larikan rantai emas RM20,000

KULIM: Seorang lelaki melarikan seutas rantai emas bernilai RM20,000 dalam kejadian samun di sebuah premis di Jalan Tunku Abidah, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, suspek masuk ke kedai dengan berpura-pura bertanyakan rantai konon untuk diberikan kepada ibunya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata bapa pemilik kedai melayan suspek dan memberitahu tidak mempunyai rantai seperti diinginkan sebelum menunjukkan rantai lain seberat 79 gram dianggarkan RM20,000.

Menurutnya, sebaik rantai diberikan kepada suspek yang mahu melihat terlebih dahulu, suspek terus melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletak berhampiran kedai emas berkenaan.

"Pemilik kedai cuba mengejar suspek namun gagal. Suspek yang menunggang motosikal SYM merah itu dilihat melarikan diri ke arah jalan Pekan Kulim melalui hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam sebelum menghilangkan diri," katanya.

Sazalee berkata, hasil siasatan mendapati suspek berkaca mata hitam, baju T merah, berseluar kelabu, bertopi hitam dan memakai pelitup muka serta jam tangan berwarna perak.

"Pemeriksaan mendapati motosikal ditunggang suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia sebenarnya didaftar atas nama seorang individu yang tinggal di Selangor.

"Kedai emas terbabit juga didapati tiada pengawal keselamatan namun ia dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian pemilik kedai, adik ipar dan bapanya sedang melayan empat pelanggan termasuk suspek dalam premis berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X