Rabu, 26 Januari 2022 | 2:57pm
Ilustrasi
Ilustrasi

Suntikan pada punggung dibuat wanita tiada lesen KKM

TELUK INTAN: Lelaki yang ditemukan mati dalam bilik sebuah hotel di sini kelmarin, dikesan mendapatkan perkhidmatan membesarkan otot punggung daripada individu yang menjalankan perniagaan kecantikan tanpa lesen Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disedari tidak bernafas dalam keadaan terbaring di katil oleh rakannya.

Terdahulu, lelaki terbabit dilaporkan mengambil suntikan bagi tujuan membesarkan punggung itu daripada seorang wanita yang juga peniaga kosmetik pada jam 10 pagi, hari sama.

Difahamkan, kandungan bahan digunakan adalah Hyaluronic acid HA Filter (Dermalax).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi Perak untuk tindakan lanjut.

"Mereka akan mengambil tindakan dan siasatan selepas mendapat laporan kimia dari Jabatan Kimia ke atas wanita yang menjalankan perniagaan kecantikan berkenaan tanpa lesen KKM.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) dan (b) Akta Racun 1952 oleh bahagian Penguatkuasa Farmasi Perak," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk peniaga kosmetik terbabit.

"Laporan bedah siasat juga sudah pun diperoleh iaitu punca kematian adalah paru-paru berair dan siasatan (pihak polis sudah) selesai," katanya.

Semalam media melaporkan, lelaki yang berperwatakan lembut itu, ditemukan meninggal dunia selepas mendapatkan perkhidmatan itu.

Mangsa dikatakan membuat janji temu bersama wanita dari Melaka berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan itu dengan bayaran RM500 bagi satu suntikan.

Bagaimanapun, setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

Berita Harian X