Selasa, 25 Januari 2022 | 11:31am
Sebahagian mesin dan peralatan melombong bitcoin yang dirampas dalam serbuan polis di sebuah premis di Persiaran Putra, Langkawi. - NSTP/IHSAN POLIS
Sebahagian mesin dan peralatan melombong bitcoin yang dirampas dalam serbuan polis di sebuah premis di Persiaran Putra, Langkawi. - NSTP/IHSAN POLIS

Polis tahan lelaki miliki 180 mesin bitcoin

LANGKAWI: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan perlombongan bitcoin dan merampas 180 mesin di sebuah premis di Persiaran Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek warga tempatan berusia 28 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 12.05 tengah malam tadi.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi telah menahan suspek di Taman Simfoni di sini.

"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis di Persiaran Putra sebelum menemui peralatan disyaki diguna untuk melombong mata wang digital bitcoin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, polis turut menemui bukti berlaku penyambungan elektrik secara haram dalam premis terbabit sehingga menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Serbuan dan pemeriksaan turut disertai kakitangan Teknikal TNB yang mengesan penyambungan elektrik secara haram.

"Antara barangan rampasan adalah mesin bitcoin sebanyak 180 unit, modem wifi, penyambung internet dan router," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X