Khamis, 20 Januari 2022 | 4:34pm

Mangsa culik dibebaskan, 3 ditahan

KUALA LUMPUR: Akibat gagal melangsaikan hutang, seorang lelaki warga asing diculik sekumpulan lelaki di sebuah kawasan di Pandan Indah, Ampang dekat sini, Isnin lalu sebelum memaksa isteri mangsa membayar sejumlah wang tebusan.

Bagaimanapun, polis berjaya menyelamatkan mangsa dan menahan tiga suspek yang mendalangi jenayah itu, tidak sampai 24 jam selepas menerima aduan mengenai kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata isteri mangsa yang juga pekerja pembersihan warga asing berusia 41 tahun, menerima panggilan daripada suaminya, kira-kira jam 12.01 pagi, kelmarin memberitahu dia diculik.

"Ketika menerima panggilan itu, isteri mangsa berada di kediamannya di Taman Cahaya Pandan, Pandan Jaya. Suaminya memberitahu yang dia berada di Shah Alam dan dipercayai diculik oleh beberapa lelaki warga asing.

"Dia kemudian diarahkan oleh suspek untuk meminta isterinya membayar wang berjumlah RM5,000 untuk membebaskannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, ekoran aduan yang diterima daripada isteri mangsa, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Ampang Jaya berjaya menangkap tiga lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga asing, kelmarin.

"Kesemua suspek berusia 26 hingga 40 tahun ditahan dekat sebuah restoran di Taman Cempaka, Ampang kira-kira jam 5.55 petang dan polis turut berjaya menyelamatkan mangsa.

"Mangsa yang berusia 43 tahun didapati bengkak di bahagian muka dipercayai akibat dipukul," katanya.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berpunca akibat masalah hutang mangsa berjumlah RM151,000 yang gagal dilangsaikan sejak tiga tahun lalu.

"Semakan mendapati seorang suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan sudah dihukum, manakala ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif.

"Seorang suspek warga asing yang ditahan pula gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah," katanya.

Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Sabtu ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

Kata beliau, siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang dijalankan.

Berita Harian X