Selasa, 18 Januari 2022 | 8:41pm

Polis kesan kumpulan individu kes lelaki dipukul

IPOH: Polis sedang mengesan sekumpulan individu disyaki terbabit kes seorang lelaki dipukul, dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata polis mengesan video kejadian itu yang disebarkan melalui akaun Facebook bernama 'Melvin Zheng Wenxin'.

"Polis mengesahkan satu laporan sudah diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pada masa sama, polis sedang mengesan individu disyaki terbabit dalam kejadian itu, bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Yahaya berkata, mangsa dan orang ramai yang ada sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit, diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki, melalui talian 012-507 7026 bagi membantu siasatan.

Beliau sekali gus menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu kerana boleh menjejaskan siasatan polis.

Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit lima saat tular dalam media sosial, memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu lain.

Gambar daripada rakaman video tular yang menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.
Gambar daripada rakaman video tular yang menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.
Berita Harian X